Monday, 12 October 2015

AMUKAN BILIRUBIN


Abang, tolonglah saya”, kata isteriku sewaktu dalam kereta untuk menghantar anak kami menuju ke hospital. “Kesian baby, dah 3 kali keluar masuk wad tapi masih tak sembuh-sembuh. Abang buatlah sesuatu supaya baby kita tak masuk wad lagi”, tambahnya lagi. La.. apa lagi yang aku boleh buat selain ikut nasihat doktor? “Banyak lagi petua yang kita belum cuba.. Ada orang kata mandikan baby dengan daun kucai, minum susu kambing, anggur hitam.. bla bla bla.. tak salah kalau kita ikhtiar. Takkan nak biarkan saja anak menangis bawah lampu kat wad tu..”, Adoi... kerana tak ikut petua orang tua, kita dikatakan tak mahu berikhtiar. Kalau ikut membabi buta tanpa pengetahuan yang cukup karang aku takut lain pula jadinya. Silap-silap gaya, bukan saja anak dapat mudarat, malah kita mak bapak ni pula terpesong akidah. Aku tak le kata petua orang tua-tua tu semuanya salah. Tapi orang tua-tua jugalah yang mengajar benda pelik-pelik. Berlenggang perut takut anak songsang, golek telur atas perut untuk tahu jantina anak, tanam uri sekali dengan pensel supaya cepat pandai.. eh macam-macamlah.. Tengok yang tukang mengajar pun sekolah tak pass juga. Bini aku ni pun satu.. Mana le dia dapat petua-petua tu semua. Tengok bini aku ni pun dah lain macam. Aku risau juga kalau-kalau dia terlebih emosi nanti, bahaya juga orang dalam pantang ni. Fikiran aku tercari-cari skrip drama yang aku pernah tonton, dalam usaha untuk memujuknya. Akhirnya aku teringat satu drama ni. Dengan penuh yakin aku cuba meniru gaya watak utama dalam cerita tu, “Sabar, ini semua kehendak Allah. Kita baru diuji dengan penyakit kuning. Orang lain lagi teruk, dapat anak kurang upaya, sindrom itu ini, tapi mereka tetap redha dengan dugaan tu”, harap-harap dia boleh terima la ayat aku tu. Tapi harapan aku meleset bila dia berkata, “Orang lain tu orang lain punya pasal, ini masalah kita. Tak ada kena-mengena dengan orang lain.. bla bla bla..”, yang selebihnya memang aku tak berapa dengar sebab bunyinya ada iras-iras bertih jagung. Aisehmen.. cubaan untuk meniru skrip drama Tanah Kubur tak menjadi. Aku cuba lagi mencari-cari skrip drama apa lagi yang lebih sesuai. Akhirnya aku teringat rancangan Tanyalah Ustaz yang mengatakan jika kata-kata yang dituturkan tidak memberi kebaikan, lebih baik diam. Jadi aku pun mengambil jalan selamat iaitu diam.
Sesampai di hospital, seperti biasa nurse dah memang tahu apa yang patut dilakukan. Baby terus diletakkan di bawah lampu yang dipanggil proses phototherapy. Apa benda fototerapi tu tak le pula aku tahu. Masa skolah dulu ada le belajar proses fotosintesis, cara tumbuhan buat makanan. Dengan berbekalkan sedikit perasaan ingin tahu Ibnu Battuta, aku pun mendekati la doktor yang sedang sibuk. Aku mula bertanya itu ini berkenaan penyakit anak aku. Jawapan doktor tu sangat mudah, “Kalau saya nak terangkan agak susah di sini, tapi saya boleh tunjukkan graf dan jadual berkenaan kadar bacaannya saja”. Memang le susah nak explain sebijik-sebijik.. benda yang dia belajar selama bertahun-tahun nak diterangkan dlm tempoh beberapa minit, terer betul aku kalau dapat faham macam dia. Doktor tu pun dengan gaya seorang pensyarah menerangkan la serba sedikit tentang masalah sakit kuning ni. Aku pun tak habis-habis mengangguk macam faham. Yang aku ingat, masalah kuning atau jaundice ni adalah disebabkan oleh bilirubin, dan bacaannya berkadar terus dengan peningkatan usia bayi. Sekiranya usia anak encik begini, tahap bacaan normal adalah begini dan tahap berisiko adalah begini. Sekiranya begini, akan begini begini.. Macam tu la lebih kurang. Belum sempat aku bertanya dengan lebih lanjut, doktor terpaksa pergi kerana terlalu banyak pesakit yang memerlukannya. Sibuk betul jadi doktor. Agak-agak bila la dia dapat makan nasik. Mujur juga Tuhan tak makbulkan cita-cita aku dulu untuk jadi doktor.


Ha kau.. dah macam star wars

Hari itu sekali lagi aku tinggalkan anak dan isteri di wad. Isteri aku plak dari tadi berlinang air mata tengah susah hati dan panik. Asal masuk wad je panik, masuk wad je panik, panik je masuk wad. Dah kalau nak menangis, apa pula daya aku tak bagi dia nangis? Nangis sajalah. Dan aku pulang dengan persoalan demi persoalan yang masih bersarang, siapa bilirubin? Kenapa bilirubin suka ganggu anak aku sampai kuning? Aku nekad utk menyiasat siapa sebenarnya bilirubin ni. Akan kucari sampai dapat. Tapi timbul pula masalah baru. Aku nak cari kat mana? Aku bukannya kenal bilirubin tu siapa. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk menggunakan cara yang paling mudah, iaitu bertanya kepada encik google. Aku pun mula le mencari-cari dalam internet tentang penyakit kuning atau jaundice ni. Banyak betul blog yang bercerita tentang jaundice rupanya. Ada yang cerita pengalaman sendiri, tak kurang juga yang memancing ibu-ibu dengan menjual produk-produk yang kononnya berkesan untuk merawat penyakit kuning. Kalau betul berkesan, boleh tutup la hospital.
Dalam banyak-banyak blog tu, aku terbaca satu blog pengalaman sorang akak ni yang menggelarkan dirinya Sua Sue Kemoning (bukan nama sebenar). Aku terpaksa merahsiakan nama sebenarnya atas sebab-sebab keselamatan. Beliau berasal dari sebuah negeri yang dipanggil Liverpool (juga bukan nama sebenar atas sebab-sebab keselamatan). Aku pun mula membaca tulisannya satu persatu:

“Assalamualaikum pembaca blog sua sue kemoning!!!...
Entry kali ni sue nk kongsi pengalaman bayi kuning yg berpanjangan...
hari ni hari yg ke 35 sue berpantang... Nur Hanna tak abih2 lg kuning... bila ditekan kat kulitnya masih keluar kuning lg...
jom ikuti perkembangan kuning bayi kami!!!!
masa mengandung kan hanna... sue amalkan minum susu kambing... sbg ikhtiar utk bayi tidak kuning...
tp itulah takdir Allah... kita hanya berusaha.. Allah yg tentukan hasilnya... kami diuji dgn hanna mengalami kuning yg berpanjangan...”


Pembacaan aku terhenti di situ. Sifat dia ni ala-ala bini aku juga, percaya dengan susu kambing. Persoalannya dari mana timbulnya fahaman susu kambing ni? Adakah ini merupakan dakyah yang disebarkan oleh penjual susu kambing untuk melariskan jualan? Aku pernah juga dengar dalam satu kuliah agama, ustaz tu mengatakan bahawa pernah seorang lelaki penjual terung yang menyebarkan hadis palsu yang mengatakan barangsiapa yang nak masuk syurga kena makan terung. Maka larislah terung-terung jualannya dibeli oleh orang-orang yang nak masuk syurga. Mudahnya masuk syurga. Jangan-jangan penjual terung tu pula yang masuk neraka kerana menipu. Semoga mereka sempat bertaubat. Memanglah tak dinafikan susu kambing ni salah satu daripada pemakanan sunnah. Tapi yang dijual di kedai-kedai tu bagaimana pula tahap kebersihannya, bahan-bahan campurannya, proses pembuatannya.. Ah.. buat apa aku fikir itu semua. Misi aku sekarang ialah mencari siapa itu bilirubin. Lalu aku teruskan membaca tulisan akak Sua Sue Kemoning tu:


“masa hari ke 8 selepas kelahirannya... Tahap kuning hanna "14" bersamaan "238"
nurse kat kpmc suruh masuk wad.. kami bincang punya bincang... ikut pengalaman yg Daina dulu...
kalu masuk wad time rendah nanti kena masuk lagi sekali... sbb sue berdarah O Daina berdarah AB...
jadi kami buat keputusan x masuk wad.. dah balik rumah 3 ari... nurse dtg rumah.. membebel2 suruh ambik darah kat klinik kesihatan... hari yg ke 11 tinggi kuning hanna cecah "17" bersamaan "305"..
doc paksa utk masuk wad jugak... so, kami putuskan masuk wad kat kpmc sbb keesokkannya ada kenduri akikah...
 
kalu masuk wad kat hospital kerajaan... kami xboleh bawak balik hanna pd hari kenduri...
masuklah wad kat kpmc 3 ari 2mlm... jumlah bil RM513. tak pelah... janji tuan punya majlis ada dlm majlisnya... hihihi”




Aduh.. kenduri lebih utama dari kesihatan anak. Mujurlah ada nurse kerajaan yang follow up sampai ke rumah. Waktu aku sedang menuntut di Uitm dulu ada seorang kawan kaki kenduri bernama Mohd Nazri bin Abdul Radzi (juga bukan nama sebenar). Jika mahu ponteng kelas atau malas untuk menghadiri latihan kawad kaki, beliau akan menggunakan kenduri sebagai alasan. Boleh dikatakan setiap bulan beliau ada kenduri. Yang hairannya alasan itu sangat kukuh dan berjaya mengelakkannya dari dikenakan tindakan. Rupa-rupanya beliau pergi kenduri di Taman Tasik berdua dengan teman wanitanya. Bila ditanya kenapa cakap nak pergi kenduri tapi sebenarnya pergi dating, beliau menjawab “biasa la nak hidup”, dan terbukti beliau masih hidup hingga sekarang. Begitulah besarnya pengaruh kenduri dalam masyarakat melayu. Seperti kes akak Sua Sue Kemoning ni, aku taknak komen lebih-lebih. Tetapi apa yang aku tahu masa bacaan rendah le elok dapatkan rawatan awal. Jika tahap bacaan melebihi paras bahaya, memang bahaya le pada bayi. Takut-takut nanti majlis kenduri akikah bertukar jadi kenduri arwah.. Nauzubillah.. Aku percaya tersangat ramai ibu-ibu di luar sana yang cuba mengelak dari masuk wad. Itu yang aku kurang faham, seolah-olah masuk wad tu sesuatu yang mengerikan. Yang aku perasan dengan akak ni ialah darah dia sama dengan darah bini aku.. jenis O. Setahu aku kalau darah jenis O, baby akan mengalami jaundice mencecah sebulan atau mungkin lebih. Berbanding dengan ibu yang memiliki darah jenis lain, paling lama pun seminggu. Itupun kalau tak ada penyebab lain la. Masalah siapa itu bilirubin masih belum terjawab. Aku teruskan pembacaan:


“hari pertama hanna masuk wad kena lampu atas bawah...
perghhhh... mcm kena panggang anak mama nih...
ketegori kuningnya sgt tinggi nk banding dgn usianya dah 11 ari..
sepatutnya hari yg ke 11 kuning dah abis...
hanna pulak... tak turun2 kuningnya...
mcm2 petua mama dan ayah ikhtiarkan spy hanna tak masuk wad..
sebenarnya mama tak sampai hati nk tengok hanna tergolek sorang2 dibawah lampu yg silau tu...“

Aku terhenti lagi. Dari tadi pembacaan aku asyik terhenti-henti. Hari pertama masuk wad dan dapatkan rawatan fototerapi adalah pada usia 11 hari dengan bacaan 308. Aku masih lagi hairan kenapa mesti mencari-cari alasan untuk mengelakkan dari mendapatkan rawatan lebih awal. Mungkin sebab melengah-lengahkan proses rawatan tu yang terpaksa guna lampu atas bawah. Aku agak je la. Sebab anak aku lahir-lahir je dah kena suluh dengan lampu tu. Aku sambung lagi membaca:

“mama dan ayah mandikan dgn bunjut cina la...
mama minum air glokus la...
mama mkn buah anggur la...
mama minum susu kambing la...
kuning hanna masih di tahap "305" selama 3 ari... tak nak turun langsung...
akhirnya mama terpaksa serahkan pd yg pakar jugak...
nurse ckp... hanna menangis teruk mlm tu...
mama dah agak dah... sbb hanna minum susu ibu... dah 11 ari hanna cium bau badan mama..
tiba2 kena tinggal... mau tak melalak...”

Eh apa daa bunjut.. macam nak buat sup pula. Dan terbukti tidak berkesan. Segala petua tu sama le yang aku dengar sebelum ni. Ada juga kawan-kawan yang mencadangkan aku dukung anak di luar rumah dengan hanya memakai lampin. Dalam cuaca yang tengah berjerebu teruk ni orang dewasa pun keluar rumah pakai topeng, ni pula nak suruh anak aku berjemur separuh bogel. Eeee tak kowser. Itu tak termasuk larangan memakai pakaian berwarna kuning lagi. Kat rumah pun jangan pasang lampu warna kuning, dikhuatiri anak jadi semakin kuning. Hmm.. kesian melayu. Satu je aku puji akak ni, sekurang-kurangnya dia mengakui bahawasanya yang benar-benar pakar adalah pegawai kesihatan dan bukannya penternak kambing, penanam anggur atau pengeluar glukos. Bab melalak tu semua baby sama. Takde kaitan dengan cium bau badan aih.. Anak aku yang baru lahir, terus diletak bawah lampu pun menangis. Anak-anak orang lain yang aku tengok di wad bayi tu pun semuanya menangis. Tak ada yang menyanyi gangnam style. Tak kiralah di hospital swasta yang mahal tu ke, atau hospital kerajaan, nurse akan biarkan semua bayi di bawah lampu tu. Tak perlu marah nurse tu.. dia memang buat keja dia. Aku difahamkan bagi anak penghidap jaundice, menangis di bawah lampu itu lebih baik untuknya daripada tidur nyenyak dalam pelukan ibu. Masalah sekarang ni siapa bilirubin? Aku baca lagi:

“hari kedua guna lampu atas jea..
sbb kuningnya dah turun ke "238"..
apa pun tetap tinggi... sbb hari ke 13 sepatutnya kuning dah hilang...
kena ambik darah lg pd hari ke 20... kuning hanna masih lg "205"
bila hanna dah sebulan kuning masih lg '205'c
apa lagi.. doc pakar pead kpmc arahkan utk ambik darah 3ml kat lengan dan bg sample air kencing...
melalak la hanna.. utk test ni RM140...
darah yg diambil td utk cek jika ada masalah kat hati atau ada jangkitan kuman kat mana2 organ lain...
kecur hati mama bila dengar doc ckp mcm tu...
time ambik darah tu... mama x sampai ati nk tengok...
ayah yg temankan hanna ambik darah...
mama jaga kakak daina kat luar...“

Memang sama le dengan bini aku. Atau mungkin juga bini-bini orang lain. Sikit-sikit tak sampai hati. Letak anak bawah lampu tak sampai hati. Amik darah tak sampai hati. Agak pening memikirkan macamana cara nak buat supaya hati bini aku sampai. Supaya dia faham bahawasanya segala proses yang dibuat itu adalah untuk kebaikan anak. Aku lebih tak sampai hati kalau disebabkan tidak mendapatkan rawatan awal sekarang, bakal mengakibatkan anak membesar tak normal angkara bilirubin. Tak sampainya hati aku..

“selain tu... sue ada ambik ubat utk sembelit...
sue xsedar langsung ubat ni adalah herba...
kandungannya kunyit... halia... lengkuas...hmmm mcm2lah...
hadoiii... hari ke8 baru sedar benda ni adalah herba..
tak nak mkn ubat hospital kononnya ada bahan kimia...
rupa2nya termakan herba lah pulak...
hmmm... lari mulut rimau masuk mulut buaya... uhhukk3..”
hati ibu mana tak remuk bila tengok anak masih kuning ketika usianya cecah sebulan....
result darah dan air kencing pulak kuar dlm masa seminggu...
tak putus2 mama berdoa spy anak mama ni sihat..

Hah.. petua lagi. Kali ni angkara herba nyonya meneer pulak. Hati remuk lagi. Aku rasa kalau print dan bagi bini aku baca kat wad pun berguna ni. Terima kasih le kepada akak Sua Sue Kemoning yang berkongsi pengalaman. Banyak sangat iktibar yang boleh diambil dari cerita ni. Aku percaya ramai ibu-ibu di luar sana yang mengalami situasi yang hampir sama, walaupun ini bukan pertama kali melahirkan anak. Masyarakat kita ni memang ramai penasihat, walaupun mereka sendiri tak sihat. Jadi, aku pun sangat berhati-hati dalam menerima bulat-bulat segala nasihat.
Cerita akak ni dah habis, tapi aku masih lagi belum dapat merungkai misteri siapa itu bilirubin. Dan kenapa bilirubin takut dengan lampu phototherapy. Aku cari lagi.. akhirnya aku terjumpa sekeping gambar. Tapi aku tak pasti, kerana belum ada kajian saintifik yang mengesahkan beliau adalah bilirubin yang mengganggu anak aku sampai kuning:


Engkaukah itu bilirubin?

Tanpa berputus asa, aku cari lagi. Dari satu blog ke satu blog aku baca. Tapi kebanyakannyanya kisah luahan hati akak-akak yang remuk hatinya kerana bayi mereka terpaksa menjalani proses photocopy.. eh, phototherapy. Selain pengedar syarikat jualan langsung yang menjual produk mereka, aku juga secara tidak sengaja terjumpa syarikat yang menawarkan perkhidmatan menyewa mesin phototherapy ke rumah. Haishh.. buat duit sungguh diorang nih.. Cari punya cari, akhirnya aku terjumpa blog www.drazwan.blogspot.my. Satu artikel berkenaan jaundice yang ditulis oleh doktor sendiri. Begini bunyinya:

Pada kebiasaannya, kebanyakan bayi baru lahir dibawa ke klinik kerana penyakit kuning. Neonatal
jaundice atau bayi kuning boleh mencecah sehingga 60% kelahiran. Bermakna setiap 6 orang bayi yang lahir akan menjadi kuning di dalam setiap 10 kelahiran. Dan pada kebiasaannya bayi ini menjadi kuning pada hari ke 3 selepas lahir dan semakin hilang selepas beberapa hari.


APA ITU JAUNDICE (KUNING)?
Jaundice berasal dari perkatan Perancis "jaune" yang bermakna kuning. Sel darah merah manusia yang terurai (kerana mati) menghasilkan partikel yang dipanggil bilirubin. Bilirubin ini adalah tidak larut air dan akan dihantar ke hati untuk diubah kepada menjadi larut air.

Setelah itu sebahagiannya akan dikeluarkan menjadi air kencing (Ya... sekarang anda tahu kenapa air kencing anda berwarna KUNING!!).. Sebahagiannya pula akan dibuang melalui najis melalui saluran hempedu (Ya.. sekali lagi anda sudah tahu apa fungsi hempedu dan kenapa najis anda bewarna coklat-keKUNING-kuningan!!)..


MENGAPA KEBANYAKAN BAYI MENGALAMI KEKUNINGAN?
Perkara ini seolah-olah misteri kepada kita. Kenapa kebanyakan bayi ini kuning? Ada 2 sebab utama.

  1. Sel darah merah bayi (Fetal Hemoglobin)      Kajian menunjukkan sel darah merah bayi adalah berbeza dengan sel darah merah orang dewasa. Ia mudah terurai dan jangka masa hayatnya adalah pendek. Bilangannya juga berlebihan daripada biasa. Oleh itu, penguraian sel darah bayi yang tinggi menyebabkan kadar bilirubin yang meningkat pada hari ke 3.

  2. Hati bayi           Hati bayi yang belum cukup matang juga menyukarkan proses penukaran bilirubin tak larut air kepada bilirubin yang larut air. Bayi pra-matang lebih cenderung terkena kuning sebanyak 80% daripada bayi lahir cukup bulan.

    Ini dipanggil kekuningan secara fisiologi atau normal. Oleh itu, tidak hairanlah ramai bayi yang terkena kuning selepas 3 hari kelahiran.


APAKAH PENYEBAB LAIN JAUNDICE?
Ada banyak sebab-sebab lain untuk bayi baru lahir kuning. Sekiranya kekuningan datang terlalu awal contohnya hari pertama kelahiran, ini mungkin disebabkan oleh tersumbatnya pundi hempedu akibat kecacatan lahir (i.e biliary atresia).Antara penyebab lain :-
  • Trauma di kepala disebabkan oleh kelahiran secara forceps atau vaccum
  • Jangkitan kuman di dalam darah (sepsis)
  • Jangkitan virus seperti Rubella atau Toxoplasma
  • Masalah Tidak Serasi dengan darah ibu (Coombs Positive)
  • Masalah dengan enzim darah merah (G6PD)
  • Hormon thyroid yang rendah (Hypothyroidism)
  • Masalah hati dan hempedu (biliary atresia, Dubin Johnson)
  • Jaundice disebabkan oleh susu ibu (setelah semua penyebab di atas telah dikenalpasti negatif)



ADAKAH JAUNDICE MERBAHAYA?
Sangat bahaya! Serum bilirubin yang berlebihan menyebabkan kernicterus. Ia adalah satu
fenomena dimana bilirubin yang tidak larut tadi menembusi lapisan otak bayi yang kurang matang. Autopsi menunjukkan otak bayi yang meninggal dunia disebabkan kernicterus berwarna kuning!
Kernicterus dikaitkan dengan kadar kematian yang tinggi. Sekiranya selamat pun akan menyebabkan bayi menjadi lumpuh, pekak atau buta. Ketika di Institut Paediatrik, HKL, saya sendiri pernah melihat bayi dari satu keluarga cina mengalami sawan kerana kernicterus. Datang selepas 1 minggu kuning. Menakutkan...



1. Phototherapy (Terapi lampu)
Phototherapy adalah kaedah yang paling berkesan abad ini untuk mengurangkan kekuningan bayi. Ia adalah sumber cahaya biru dengan jarak gelombang (wavelength) kira-kira 450 nm. Dengan kaedah ini, bilirubin merbahaya ditukarkan kepada bilirubin larut air untuk dinyahkan daripada badan.
Cara menggunakan phototherapy dengan berkesan :-
  • Letakkan sumber cahaya kira-kira 35 cm - 50 cm daripada bayi
  • Buka semua baju bayi kecuali lampin
  • Tutup matanya
  • Lampu dibuka setiap masa 24 jam kecuali ketika mandi, minum susu, menukar lampin dan mengambil darah
  • Alih posisi bayi setiap 2-3 jam
  • Ada kajian menunjukkan terapi lampu boleh menyebabkan bayi kekurangan air maka memasukkan air melalui salur darah adalah satu kemestian.
  • Paras bilirubin hanya hanya boleh disukat dengan pemeriksaan darah sahaja kerana pemerhatian visual tidak tepat.
  • Risiko untuk peningkatan mendadak semula (rebound effect) boleh berlaku setelah rawatan lampu diberhentikan.



2. Exchange Transfusion (ET)
ET dilakukan sekiranya rawatan lampu tidak berjaya mengurangkan paras bilirubin. Kernicterus boleh berlaku sekiranya paras bilirubin tetap tinggi. ET ialah satu rawatan di mana darah bayi dikeluarkan secara perlahan-lahan oleh doktor secara manual melalui satu prosedur ringkas dan diganti dengan darah baru yang diambil dari bank darah. Proses ini memakan masa sehingga 5-6 jam. Semasa saya bertugas dahulu di bahagian paediatrik, ini adalah satu prosedur yang kalau boleh paling saya tidak sanggup lalui.
Di HKL ia biasanya dijalankan pada waktu malam bermula pada pukul 11 malam dan tamat hampir pukul 5 pagi! Itu untuk seorang bayi!. Doktor akan mengeluarkan darah bayi dengan perlahan-lahan melalui satu tiub yang dipasang di saluran darah di pusatnya (tali pusat masih baru lagi) dan memasukkan darah baru juga secara perlahan-lahan.
Bagi seorang doktor, prosedur ini sangat sukar kerana ia dijalankan pada waktu orang lain sedang tidur, anda berseorangan ditemani oleh seorang bayi (paling kurang... kalau ada jururawat yang temankan atau tolong buat anda kopi pun best jugak kan... tapi...) dan ia prosedur yang sangat-sangat perlahan untuk mengelakkan komplikasi



CAHAYA MATAHARI VS PHOTOTHERAPY?
Adakah meletakkan bayi yang kuning dibawah cahaya sinar matahari pagi boleh mengurangkan kekuningan? Apa pendapat anda?
Ada yang berkata, "kau dulu aku letak bawah matahari tulah.. takde apa-apa pun... " atau
"Buat apa kau nak siksa budak kecik tu... masuk hospital... letak bawah lampu.. kena cucuk sana sini... letak je bawah matahari.... "
Kadang-kadang idea-idea yang meruntun jiwa ni boleh juga masuk ke benak kita dan akhirnya akan melengah-lengahkan tanggungjawab kita kepada anak kita.
Pada hakikatnya, bayi dijemur di bawah sinar matahari ketika berada di rumah. Tiada ibu-bapa yang ingin membawa anak mereka ke hospital dengan niat menjemur anak. Oleh itu, tiada pengawasan yang sewajarnya untuk bayi tersebut ketika berada di rumah. Ibu-bapa pula berada di dalam zon selesa dan perhatian kepada anak pula berkurang.



Kenapa Phototherapy lebih baik daripada menjemur bayi di bawah matahari?
  • Phototerapy bersinar selama 24 jam, menukarkan bilirubin kepada bentuk yang tidak merbahaya setiap masa kecuali waktu minum susu, tukar lampin, mandi dan ambil darah
  • Berapa lama bayi boleh dijemur di bawah matahari? Bayi hanya boleh dijemur pada waktu pagi selama 3 jam? 4 jam? paling lama 5 jam? Bagaimana dengan baki 20 jam lagi?
  • Bagaimana anda hendak memeriksa paras bilirubin sekiranya anda begitu selesa berada di rumah menjemur anak? Adakah cukup dengan pemerhatian visual anda sahaja?
  • Antara sebab kekuningan bayi meningkat ialah dehydrasi iaitu bayi kekurangan air. Sinar matahari boleh menjadikan dehydrasi bertambah teruk kerana suhunya itu. Sedangkan di hospital, dehydrasi boleh dibendung dengan menambah air melalui saluran darah.
  • Keputusan untuk mengadakan Exchange Transfusion atau ET boleh dibuat sekiranya pesakit di hospital menjalani rawatan lampu, berbanding sekiranya pesakit hanya berada di rumah.
  • Ujian darah boleh dilakukan serentak ketika menjalani rawatan lampu untuk mengenalpasti sebab-sebab kekuningan samada ia adalah jangkitan, masalah hati atau sebagainya.



SUSU KAMBING VS SUSU IBU?
Terdapat pendapat bahawa susu kambing boleh mengurangkan kekuningan yang dialami oleh bayi. Walaubagaimanapun, rata-rata pendapat mengatakan bahawa ini adalah petua orang tua-tua, cara tradisional atau mengatakan ia adalah satu keajaiban. Tidak ada penjelasan secara saintifik. Malahan, petua berjemur bawah matahari pagi mempunyai penjelasan yang lebih saintifik berbanding cerita susu kambing. Diharapkan ia bukan taktik penjual susu kambing untuk meraih keuntungan.
  • Apa yang ada pada susu kambing menjadikan ia begitu ajaib? Jika ada kajian tentang susu kambing, saya yakin ia tidak ada perbezaan yang besar dengan susu ibu atau susu lembu. Susu ibu lebih berpotensi menjadi ubat kepada penyakit kuning kerana ia makanan sempurna kepada bayi. Malahan, susu kambing mempunyai zat-zat galian yang lebih tinggi yang tidak sesuai dengan tumbesaran bayi.
  • Ada yang memberi susu kambing yang belum dipasteurkan, dinyahkuman atau dimasak!. Memberi susu kambing mentah yang tidak pasti status kebersihannya mengundang bahaya kepada bayi.
  • Perut dan usus bayi yang masih belum matang tidak sesuai diberi selain daripada susu ibu. Jika susu lembu yang telah bertahun-tahun digunakan itu pun boleh menyebabkan allergi kepada bayi, bagaimana pula susu kambing? Alahan boleh membawa maut! (Baca artikel ini oleh Pusat Racun USM)
  • Secara fisiologi, kekuningan bayi akan hilang selepas 5-6 hari walaupun dia tidak diberi minum susu kambing. Sekiranya bayi diberi minum susu kambing pun, kekuningan yang tinggi boleh menyebabkan kernicterus. Jadi tidak ada bezanya secara perbandingan.



Sangat informatif. Barulah aku faham siapa dia bilirubin yang sungguh misteri itu. Antara ayat Dr. Azwan yang menarik minat aku ialah “Ketika di Institut Paediatrik, HKL, saya sendiri pernah melihat bayi dari satu keluarga cina mengalami sawan kerana kernicterus. Datang selepas 1 minggu kuning. Menakutkan...“. Aku rasa la, keluarga cina tu pun mencuba petua amalan nenek moyang mereka. Mereka lagi banyak petua akar kayu dan herba sejak turun temurun. Agak-agak tak berkesan, baru mereka datang ke hospital. Tapi dah kronik, susah le nak repair. Macam kisah akak Sua Sue Kemoning tadi, hari ke 11 baru bersetuju untuk dapatkan rawatan, kerana sibuk nak kenduri dan melayan remuk hati, susah hati bila dengar WAD. Itupun terpaksa setuju setelah berkali-kali dipaksa oleh nurse dan doktor. Mujurlah tidak diserang kernicterus. Jika tidak, remuk terus. Huh.. membuak-buak perasaan ingin berkongsi informasi ni dengan bini aku. Tadi nak sangat aku buat sesuatu kan.. Ha ni le sesuatu tu. Tanda aku sayang kepada anak bini bukanlah dizahirkan dengan cara meratap hiba atau ke hulu ke hilir depan pintu wad tu sambil mengerutkan dahi. Juga bukan dengan cara memperjudikan kesihatan anak dengan menjadikannya bahan ujikaji petua-petua yang tidak diketahui sumbernya. Serahkan saja kepada mereka yang bertauliah. Kalau perlu lampu, lampulah. Kalau perlu cucuk, cucuklah. Tak payah nak remuk sangat la. Bak kata Lebai Sahak tok siak masjid merangkap pengutip derma khairat kematian kampung aku: ada perkara yang kita tak suka, tetapi sebenarnya baik untuk kita, dan ada perkara yang kita suka tetapi sebenarnya buruk untuk kita.
Habis baca artikel Dr Azwan ni, aku print dan kepilkan sekali dengan kisah pengalaman akak Sua Sue Kemoning tu, bungkus ikat tepi, then aku bawak ke wad bagi bini aku baca. Hasilnya sangat positif. Kalau sebelum ni bini aku asik remuk hati bila letak anak di bawah lampu, kini tidak lagi. Kalau sebelum ni emosinya sentiasa perlu ditenangkan, kini dia pula yang menenangkan ibu-ibu lain. Kalau sebelum ni aku dituduh bapa yang tidak bertanggung jawab, kerana tidak menyertai kumpulan bapa-bapa penyayang yang sering mundar-mandir di dalam wad dengan muka pura-pura busy, kini tidak lagi. Aku dah boleh balik rumah dengan senang hati menonton rancangan kartun kegemaran aku di tv. Aku hanya akan muncul di wad ketika waktu melawat sahaja. Tapi aku tetap sediakan rekod bacaan bilirubin di rumah sebagai rujukan aku. Kepada para suami dan bapa di luar sana, anda pun boleh cuba resepi ini. Sediakan sedikit informasi dan pengetahuan kepada isteri masing-masing, dan anda teruskanlah dengan aktiviti harian. Tiba waktu makan, pegi le cari nasik. Tiba waktu solat, pegi le cari masjid. Buat apa le nak bersesak-sesak kat situ menyukarkan para nurse nak buat kerja. Bukan reti nak buat apa pun. Membantu menurunkan kadar bilirubin juga tidak. Nak tunjukkan kasih sayang pada anak isteri bukan dengan cara berkeliaran memenuhkan wad macam tu. Melainkan jika anda memang jenis yang suka memerhati ibu-ibu lain menyusukan anak mereka.
Berita terkini yang baru aku terima, bacaan bilirubin anak aku dah turun ke tahap normal. Maknanya dah boleh discharge. Tapi, apa guna keluar kalau esoknya terpaksa masuk semula kan.. Lagipun umurnya baru 8 hari. So, aku bagitau bini aku supaya stay lagi satu malam di wad. Eh, dengan senang hati dia setuju. Eh, dah tak remuk ke.. Eh, dah tak takut dengan wad ke.. Alhamdulillah.. Dengan kebenaran pihak hospital, malam ni anak tidur dengan ibunya di wad, tanpa penggunaan mesin phototherapy. Esok pagi amik darah, kalau bacaan dah betul-betul ok, baru kita balik ye nakkk...